Latar Belakang

Sistem pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berteraskan kejuruteraan dan berlandaskan pendekatan “lab intensive” merupakan satu keunikan yang menuntut beberapa keperluan. Sepertimana yang diamalkan di negara-negara maju, aktiviti-aktiviti pengkayaan pengajaran dan pembelajaran berorientasikan industri merupakan salah satu ciri utama. Walaubagaimanapun, lokasi UniMAP yang jauh dari kawasan-kawasan perindustrian utama seperti Pulau Pinang dan Selatan Kedah memberikan cabaran kepada kerjasama erat yang mampu dijalin dengan lebih erat dengan pelbagai industri.

Berpandukan kepada maklumbalas industri yang banyak mencadangkan agar UniMAP membuka sebuah pejabat/kampus di kawasan berdekatan Pulau Pinang, adalah wajar UniMAP memberikan respons positif ke atas keperluan industri tersebut. Ini juga selaras dengan amalan universiti-universiti seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah menubuhkan pejabat cawangan masing-masing. Bagi mengatasi masalah tersebut, penubuhan satu Pejabat UniMAP di Taman Teknologi Tinggi Kulim adalah perlu. Pejabat ini bakal menjadi pusat pertemuan dan penyelarasan operasi kerjasama industri, promosi serta kursus-kursus pendek UniMAP yang akan dioperasikan oleh Pusat Kerjasama Industri.

Lokasi yang strategik berhampiran pelbagai kawasan perindustrian di Utara Semenanjung Malaysia ini amat sesuai untuk dipertimbangkan oleh pentadbiran UniMAP, di samping kerjasama yang telah sedia terjalin di antara UniMAP, pihak pengurusan Taman Teknologi Tinggi Kulim serta industri-industri di kawasan berhampiran. Selain daripada mengatasi masalah jarak UniMAP dengan industri, yang merupakan salah satu pemegang taruh dan pelanggan utama universiti, pejabat ini juga diharap dapat berfungsi sebagai pusat latihan terkemuka di masa hadapan, menyumbang dalam pembangunan modal insan Koridor Utara serta menjadi sumber utama penjanaan pendapatan UniMAP.

Anjung UniMAP Kulim merupakan pejabat perwakilan UniMAP yang kedua ditubuhkan di luar kawasan induknya, Perlis. Anjung UniMAP Kulim beroperasi di Kulim Hi-Tech Park, Kulim, Kedah. Majlis perasmian telah diadakan pada 2 Februari, 2010 dan disempurnakan oleh Canselor UniMAP yang juga Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulai. Hadir bersama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khaleel, merangkap Pro Canselor UniMAP. Dengan adanya Anjung UniMAP Kulim di Taman Teknologi Tinggi di Kulim ini, diharap dapat menjalin kerjasama yang erat dengan industri di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Selatan Kedah. Pejabat ini akan menjadi pusat pertemuan dan penyelarasan operasi kerjasama industri, promosi serta kursus-kursus pendek UniMAP yang akan dioperasikan oleh Pusat Kerjasama Industri.

No comments:

Post a Comment